Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Sheikh Yusof Al-Qaradawi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa

Sempena sambutan Maal Hijrah 1431H, Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah dipilih oleh pihak Kerajaan Malaysia sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvesyen Putrajaya. Bersama seorang teman, di hadapan televisyen, kami melihat upacara penganugerahan tersebut, sambil tak putus-putus memuji beliau. Dalam dunia Islam, beliau bukan calang-calang orang dan pandangannya sering mendapat perhatian dunia. Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat lepas.

Pemilihan Dr Yusuf Al-Qaradawi sememangnya amat bertepatan kerana sumbangan beliau yang begitu besar kepada Islam dan umat Islam sebagai tokoh ulama, pendakwah, pemikir, sarjana dan intelek kontemporari pada abad ini. Al-Qaradawi memainkan peranan penting dalam mengembangkan syiar dan dakwah Islam serta membangkitkan kesedaran ummah.

Selain sumbangan dalam bidang ilmu, Al-Qaradawi juga sering bertindak sebagai jurucakap bagi umat Islam di kala umat ini berdepan dengan cabaran daripada pelbagai penjuru dan terus tercari-cari arah sejak kejatuhan Khilafah pada tahun 1924. Antara seruan-seruan penting beliau ialah supaya umat Islam mengetepikan perbezaan masing-masing demi kesatuan Islam dan komited dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa daripada ancaman penjajah Zionis Israel melalui apa sahaja cara yang termampu.

Al-Qaradawi dilahirkan di Mahallah Al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada tahun 1926. Beliau menunjukkan ciri ulama apabila menghafal Al-Quran sejak kecil dan sering dipanggil menjadi imam serta menyampaikan syarahan agama di masjid kampungnya. Al-Qaradawi melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Fiqh al-Zakat pada 1973.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails