Seorang da’ie harus memahami bahawa jalan dakwah tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan. Al-Quran telah berulang-ulang kali memberikan peringatan dan perangsang;
“Maka bersabarlah kamu seperti orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul- rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka...” (Al-Ahqaf: 35)
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
(Luqman: 17)
Seorang da’ie itu harus mempunyai ketabahan hati agar mampu berhadapan dengan bermacam dugaan dan cubaan. Tambahan lagi, dugaan dan cubaan itu datangnya daripada sumber yang pelbagai.
Cabaran Luaran
Renungilah firman Allah S.W.T. tentang ancaman cubaan dari luar;
“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.” (Al-Israa’: 73)
Jika tiada kemantapan ilmu dan keteguhan iman di dada, pasti kita terpaling sedikit. Dan biarpun kita terpaling hanya sedikit, tetapi balasannya cukup besar.
“Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Al-Israa’: 74-75)
Renungilah kisah penawaran kafir Quraisy kepada Rasulullah s.a.w.;
Kaum Quraisy tidak akan menghalangi pekerjaan Rasul. Islam boleh hidup terus. Malah mereka akan bersedia turut bersama-sama beribadah secara Islam pula, asal orang-orang Islam mahu turut pula, memuja dewa-dewa yang mereka puja. Boleh berganti-ganti setahun ke mari, setahun ke sana.
“Dan apabila ada unsur-unsur kebaikan yang engkau bawa, maka kami akan bersama-sama dengan engkau menjalankannya; dan kami akan ambil bahagian kami daripadanya. Dan jika ada unsur-unsur kebaikan yang ada pada kami, bersama-sama pulalah engkau menjalankannya; dan engkau ambillah bahagianmu daripadanya.”
Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Berlindung aku dengan Allah, jangan sampai aku mensyirikkan Allah dengan dengan lainnya.”
Kaum Quraisy pun mengurangkan isi tawaran mereka:
“Kalau begitu, engkau terimalah sebahagian sahaja dari tuhan-tuhan kami, kami akan akui kebenaranmu; dan kami sembah Tuhanmu.”
Dengan cepat dan tegas Rasulullah s.a.w. memberikan jawapan dengan firman Allah S.W.T.
“Katakanlah: Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku.” (Al-Kaafiruun: 1-6)
Dan cubaan itu akan terus datang dalam pelbagai bentuk. Kadang kala berupa siksaan dan penderitaan. Inilah hakikat yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku.
Bertanya Sa’ad bin Abi Waqqas: “Di antara manusia, siapakah yang mendapat seberat-berat ujian, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Para Nabi, kemudian orang-orang yang sama seperti mereka; lalu orang-orang yang sama dengan mereka itu pula.”
Cabaran Dalaman
Seorang da’ie itu, disebabkan oleh jiwa perjuangan dan idealisme murninya, adalah seorang yang tidak biasa dengan soal-soal mencari nafkah, seorang yang tidak dapat masuk ke dalam sistem kepegawaian yang biasa, seorang yang tidak boleh melalui birokrasi mencengkam, seorang yang tidak boleh terikat dengan apa-apa kepentingan kerana lidahnya lancar menuturkan kata-kata yang kadang-kala tajam dan pedas. Lalu timbul masalah bila masyarakat masih kurang memahami dan masih rendah taraf ekonominya; siapa yang akan membiayai kerja-kerja dakwah? Siapa yang akan membiayai kehidupan para pendakwah?
Apatah lagi bila sudah berkeluarga, cabarannya semakin meningkat. Adakah hendak diutamakan kehidupan pasangan dan anak-anak? Ataupun perjuangan yang harganya adalah kehidupan sederhana dan kadang-kala melarat? Kerana itulah Rasulullah s.a.w. mengingatkan kepada isteri-isterinya:
“...Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 28-29)
Sumber Kekuatan
Sumber kekuatan untuk berhadapan dengan segala macam dugaan dan cabaran tidak lain dan tidak bukan adalah daripada Allah S.W.T. Oleh sebab itu seorang da’ie perlu berusaha membina hubungan yang baik dengan Allah S.W.T.
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. Dan katakanlah: ‘Ya Yuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.’(Al-Israa’: 78-80)
Wahai generasi Rabbani, usahlah kita gentar dan gusar untuk meneruskan perjuangan membenarkan kalimah 'Lailahaillah' didalam hati setiap manusia kerana janji Allah pasti bersama kita. Sepertimana yang janji yang dibisikkan oleh Allah SWT kepada kedua utusan-Nya, Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tatkala mereka dalam kegusaran untuk berhadapan dengan Firaun yang zalim.
“...Janganlah kamu berdua khuatir, sesungguhnya Aku beserta kamu berdua, Aku maha mendengar dan maha melihat.” (Thaahaa: 46)
No comments:
Post a Comment