Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Bencana alam pengajaran buat yang mahu berfikir

Bersilih ganti bencana alam menimpa beberapa negara baru2 ini. Kita sangat bernasib naik kerana terlepas daripada menerimanya. Mungkin Allah masih menyayangi kita atau Allah tidak mahu menguji kita lagi agar kita terus leka dibuai keseronokan duniawi.


Yang terbaru, para Sainstis menyatakan bahawa gempa bumi besar  baru2 ini berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Erusia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.

Walau apapun teori (kadang-kadangnya silap) yang dikemukakan oleh ahli saintis terhadap fenomena yang berlaku namun yang jelasnya bagi aqidah kita, semua yang berlaku berada di bawah kekuasaan dan pengetahuan Allah. Semua telah ditentukan, bumi bergoncang, angin bertiup bahkan bilakah berlaku gempa bumi, di wilayah mana, kekuatan berapa, berapa mangsa yang meninggal, berapa yang terselamat dan tercedera.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).” (al-Ana’am: 59)

Pengajaran & Iktibar

Segala peristiwa ini harus dijadikan iktibar buat kita, jangan butakan mata serta hati dengan tak ambil kisah apatah lagi ianya berlaku di tempat orang lain. Mu’min yang peka mesti mengambil i’tibar dan pengajaran ke atas semua yang berlaku, mudah-mudahan ianya memberi manfaat untuk dirinya sendiri dan juga kepada masyarakat secara umumnya.
 
1. Apabila sesuatu kadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t akan berlaku, ianya akan berlaku tanpa ada kuasa lain yang akan menahannya. Dengan 'Kun Fayakun' maka bergoncanglah bumi, air sungai melimpah serta bangunan jatuh menyembah bumi.

2. Supaya manusia tahu tentang hakikat dirinya sendiri, jangan tertipu dengan kehebatan ilmu yang dimiliki sehingga ada yang sombong seolah-olah boleh menguasai undang-undang alam. Dengan berlakunya beberapa siri bencana alam sepatutnya para saintis berfikir bahawa ada kuasa yang mengatasi semua ilmu manusia bahkan apa yang mereka ada hanyalah sedikit sahaja. Manusia sebenarnya makhluk lemah yang tidak dapat melakukan semua benda untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Saidina Ali: “Malang sekali nasib anak Adam, ia disakiti oleh serangan mikro, dibunuh oleh angin panas yang datang dari Afrika dan dilemahkan oleh peluhnya sendiri." “Manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-Nisa’: 28)

3. Manusia sepatutnya lebih arif tentang nilai dunia yang menjadi rebutan. Ianya seolah lalat yang mengerumuni sampah sarap yang tidak berguna langsung. Dunia yang menjadi rebutan akan hilang dalam sekelip mata sahaja, manusia berada di dalam istana impiannya tetapi tidak mengetahui bahawa sekejap lagi istana tersebut akan dihanyutkan di dalam banjir besar yang akan datang. Manusia menjangkakan akan terselamat tetapi sebenarnya maut lebih hampir dari tengkoknya.

4. Mengingatkan tentang kedahsyatan hari Qiamat, kalaulah gegaran 5-9 skala Richter hanya beberapa saat, apa kata kalau 10-20 skala Richter dalam beberapa minit. “Maka jadilah gunung-gunung seperti kapas yang berterbangan ditiup angin.” Saat yang sangat genting dan menakutkan sekali sehingga Allah menggambarkan apabila tibanya waktu itu ibu-ibu akan meninggalkan anak yang sedang menyusu, bayi-bayi di dalam kandungan akan keguguran, mungkin tertanya oleh kita hari apakah itu? Itulah hari penghabisan dunia bila ianya berlaku maka kekuatannya berkali-kali ganda.

Bencana dan maksiat


Secara umumnya ramai di kalangan manusia yang tidak beriman menganggapkan setiap bencana alam yang melanda dunia adalah semata-mata fenomena alam, tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung terhadap tindakan dan amalan manusia. Balasan terhadap amalan dunia hanya akan diterima di akhirat bukannya di dunia.

Sebenarnya ini adalah satu sangkaan yang salah dan bertentangan dengan nas al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam al Quran bagaimana sebuah kampung akan dilanda musibah hanya disebabkan amalan maksiat yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut.

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” (an-Nahl: 112)

Allah telah memberi segala kesenangan dan kemewahan kepada manusia tetapi apakah balasan manusia terhadap tuhannya? Mereka semakin ganas gara-gara mengikut hawa nafsu. Lalu apakah balasan dari Allah? Lebih baik merampas kembali pemberian dengan mendatangkan bala seumpama kelaparan dan ketakutan.

Bala bukan sahaja melalui bencana alam seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s, bahkan ianya juga mungkin terjadi dengan ketakutan dan keresahan yang membelenggu masyarakat. Kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, ahli keluarga, serta kehilangan harta benda sebenarnya itu adalah satu bala.

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit." (Taha: 124)

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, akibat daripada manusia meninggalkan syariah yang diturunkan oleh Allah bahkan menentangnya maka Allah telah menurunkan bala ketakutan yang menyelubungi kehidupan manusia hari ini. Semuanya berpunca dari maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Golongan salafussoleh yang terdahulu apabila datangnya musibah, kepayahan dan kesusahan mereka akan beristighfar memohon ampun kerana bimbang kelalaiannya yang menyebabkan turunnya musibah dari Allah s.w.t. Allah telah menceritakan tentang doa Nabi Adam ketika diperintahkan turun ke bumi.

“Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami, jika sekiranya Kamu tidak mengampuni kami maka termasuklah kami di kalangan orang-orang yang rugi.”

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat supaya sentiasa muhasabah diri tentang kelalaian yang telah dilakukan. Hisablah diri masing-masing terhadap tanggungjawab kita kepada Allah, adakah kita telah laksanakan sebaik-baik pelaksanaan tanggungjawab hamba terhadap penciptanya? Tanggungjawab dakwah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai da'i untuk menyelamatkan umat dari kehancuran dan kebinasaan? Kalau belum lagi kita bimbang kelalaian itulah penyebab kepada bencana yang melanda umat sekarang ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails