Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

10 Hari Pertama Zulhijjah

Dalam beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut kedatangan Eiduladha 1430H. kita belajar dalam sirah nabawiyah, pergorbanan umat islam dahulu sangat besar sehingga sanggup berhijrah meninggalkan apa sahaja termasuk keluarga dan harta semata mata kerana nak kembang islam. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah


Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

hadith-11
"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”

 

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).



al-buruj1

“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” 
(Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)
 

Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi
 

hadith-31


“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim) 


JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA  
1.  Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : 
“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2.  Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.


Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

3.  Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : 


“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
 “(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.



4.  Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : 
 “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).


5.  Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6.  Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7.  Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8.  Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya” 
 

dan di dalam riwayat lain :
“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. 
 
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :
“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.


Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9.  Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
 
10.  Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Insya Allah, moga perkara yang ana listkan kat atas mampu kita amalkan sempena kedatangan bulan barakah ini. Untuk berhijrah tidak semesti perlu pergi ke tempat yang tiada orang kenal kita. Maksud hijrah adalah berpindah dari yang tidak baik kepada yang lebih baik. Justeru itu, ana pesan pada diri ana sendiri agar mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah swt dan diharap sahabat/biah dapat ambil manfaat bersama..
barakallahuminkum....

Tidak Berwirid & Berdoa Selepas Solat Fardu

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya berhubung dengan mereka yang membantah imam kerana tidak berdoa selepas solat, beliau menjawab: “Tidak pernah Nabi s.a.w berdoa bersama makmum selepas solat lima waktu seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang selepas solat Subuh dan Asar. Tidak pernah pernah diriwayat hal itu oleh seseorang pun. Tiada seorang pun dari kalangan imam empat yang menyatakan baiknya perkara itu. Sesiapa yang memetik daripada al-Imam al-Syafie bahawa dia menyukainya adalah salah. Ungkapannya yang ada dalam kitab-kitabnya menafikan hal itu. Demikian al-Imam Ahmad dan selainnya tidak pernah menyukai hal ini” .

Jika kita merujuk kepada Kitab al-Umm karya agung al-Syafii, ternyata apa yang sebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini benar. Ini kerana al-Imam al-Syafii ketika mengulas hadith Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi s.a.w”.( Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 1/215, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

Beliau berkata: “Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan”. Adapun mengenai hadith Ibn ‘Abbas di atas al-Imam al-Syafi’e menjelaskan seperti berikut: Aku berpendapat baginda menjelaskan suara (zikir) hanya seketika. Untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini, atau selainnya tidak menyebut selepas salam tahlil dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduk baginda (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda zikir secara terang. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak terang. Jika seseorang berkata: Seperti apa? . Aku katakan: Seperti baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya. Tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya). (Al-Syafi’i,Mausu‘ah al-Imam al-Syafi’i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi.)

Adab Dalam Khilaf Ulamak 1

PENGERTIAN AL-FIQH Perkataan fiqh adalah dari segi bahasa Arab yang memberi erti faham atau kefahaman, iaitu kefahaman seseorang secara mutlak atau mendalam yang dapat memahami tujuan perkataan yang diucapkan dan perbuatan yang dilakukan2. Dalilnya firman Allah s.w.t , antaranya:

” واحلل عقدة من لسانى يفقهواقولي “
Ertinya: “Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengertikan perkataanku”.
(Surah Taha: 27)


” يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول “
Ertinya: “Wahai Syuaib! Kami tidak faham kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu”.
(Surah Hud: 91)

Daripada perkataan fiqh dari segi istilah telah melalui beberapa tahap perubahan secara perlahan-lahan. Pada awal istilah fiqh dimaksudkan
“Semua hukum-hukum agama yang dibawa oleh Syariat Islam, sama ada hukum-hukum ini berkaitan dengan aqidah, akhlak, ibadat dan muamalat”.
2 Dr. Wahbah al-Zuhaili, (1986) Damsyik, Dar al-Fikr “Usul al-Fiqh al-Islami”, jld : 1, hal : 8

Masyarakat Islam sekarang berpecah kepada beberapa mazhad aqidah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Selepas itu berlaku beberapa siri perang saudara dimana ramai para Hafiz syahid di medan perang. Peristiwa itu merupakan titik hitam bagi umat islam kerana sejak itu, umat islam sudah tidak bersatu di tambahan pula terlalu taksub dengan mazhad masing2.


Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan Syari’at baru. Namun begitu ia merupakan manhaj atau metod untuk memahami Syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya.

Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini dan ada di antaranya sudah lenyap ditelan zaman tanpa pengikut dan tidak diketahui adanya katakata atau fatwa mereka, melainkan apa yang disebut dalam kitab-kitab “al-Khilaf” (perbandingan Mazhab) dan kitab-kitab mazhab yang masih kekal.6

Bolehlah kita bahagikan mazhab-mazhab ini kepada tiga bahagian:

• Mazhab yang tidak berkembang lama

• Mazhab Syi’ah dan Khawarij

• Mazhab fiqh yang paling masyhur bagi imam-imam Ahli Sunnahwa al-Jama’ah

MAZHAB YANG TIDAK BERKEMBANG
Para mujtahid pada zaman ini sebenarnya cukup ramai, terdiri daripada tabi’in atau tabi’i al-tabi’in atau mereka yang berikutnya, tetapi kebanyakan mereka ini tidak ada orang yang mengumpul dan menyebarkan mazhab mereka di kalangan orang Islam dan mamfatwakannya. Akhirnya mazhab ini makin lama makin mengecil. hampir pupus dan hilang fiqhnya, kecuali pandangan mereka yang ditemui bertaburan di dalam kebanyakan kitab tafsir bil ma’thur, syarah-syarah hadith dan kitab-kitab fiqh mazhab yang kekal.

Di antara tokoh-tokoh mujtahid ini ialah seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Sa’id bin al-Musayyib, Ibrahim al- Nakha’iy, Sufyan al-Thauri. al-Imamal-Auza’iy, Ibn Jarir al-Tabari, Daud
al-Zahiri dan lain-lain lagi.

Terdapat beberapa mazhab lain yang masih hidup, kekal, berkembang dan diberi perhatian. Namun begitu ijtihad pendokong-pendokongnya telah terkeluar dari lingkungan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari segi Usul (prinsip) dan Furu’. Mazhab yang terpenting sekali ialah Syi’ah dan Khawarij, kemudian yang paling masyhur sekali ialah:

• Mazhab al-Ibadiyyah dari golongan al-Khawarij
• Mazhab al-Imamiyyah dari Syi’ah
• Mazhab al-Zaydiyyah dari Syi’ah juga tetapi ia lebih dikenali sebagai mazhab yang sedehana dan lebih hampir kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah

MAZHAB-MAZHAB FIQH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH
Mazhab fiqh yang termasyhur dari kalangan imam Ahli al-Sunnah waal-Jama’ah yang masih terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut:

1. Imam Abu Hanifah (80-150H)
2. Imam Malik bin Anas (93-179H)
3. Imam al-Syafi’i (150-204H)
4. Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)

Bencana alam pengajaran buat yang mahu berfikir

Bersilih ganti bencana alam menimpa beberapa negara baru2 ini. Kita sangat bernasib naik kerana terlepas daripada menerimanya. Mungkin Allah masih menyayangi kita atau Allah tidak mahu menguji kita lagi agar kita terus leka dibuai keseronokan duniawi.


Yang terbaru, para Sainstis menyatakan bahawa gempa bumi besar  baru2 ini berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Erusia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.

Walau apapun teori (kadang-kadangnya silap) yang dikemukakan oleh ahli saintis terhadap fenomena yang berlaku namun yang jelasnya bagi aqidah kita, semua yang berlaku berada di bawah kekuasaan dan pengetahuan Allah. Semua telah ditentukan, bumi bergoncang, angin bertiup bahkan bilakah berlaku gempa bumi, di wilayah mana, kekuatan berapa, berapa mangsa yang meninggal, berapa yang terselamat dan tercedera.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).” (al-Ana’am: 59)

Pengajaran & Iktibar

Segala peristiwa ini harus dijadikan iktibar buat kita, jangan butakan mata serta hati dengan tak ambil kisah apatah lagi ianya berlaku di tempat orang lain. Mu’min yang peka mesti mengambil i’tibar dan pengajaran ke atas semua yang berlaku, mudah-mudahan ianya memberi manfaat untuk dirinya sendiri dan juga kepada masyarakat secara umumnya.
 
1. Apabila sesuatu kadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t akan berlaku, ianya akan berlaku tanpa ada kuasa lain yang akan menahannya. Dengan 'Kun Fayakun' maka bergoncanglah bumi, air sungai melimpah serta bangunan jatuh menyembah bumi.

2. Supaya manusia tahu tentang hakikat dirinya sendiri, jangan tertipu dengan kehebatan ilmu yang dimiliki sehingga ada yang sombong seolah-olah boleh menguasai undang-undang alam. Dengan berlakunya beberapa siri bencana alam sepatutnya para saintis berfikir bahawa ada kuasa yang mengatasi semua ilmu manusia bahkan apa yang mereka ada hanyalah sedikit sahaja. Manusia sebenarnya makhluk lemah yang tidak dapat melakukan semua benda untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Saidina Ali: “Malang sekali nasib anak Adam, ia disakiti oleh serangan mikro, dibunuh oleh angin panas yang datang dari Afrika dan dilemahkan oleh peluhnya sendiri." “Manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-Nisa’: 28)

3. Manusia sepatutnya lebih arif tentang nilai dunia yang menjadi rebutan. Ianya seolah lalat yang mengerumuni sampah sarap yang tidak berguna langsung. Dunia yang menjadi rebutan akan hilang dalam sekelip mata sahaja, manusia berada di dalam istana impiannya tetapi tidak mengetahui bahawa sekejap lagi istana tersebut akan dihanyutkan di dalam banjir besar yang akan datang. Manusia menjangkakan akan terselamat tetapi sebenarnya maut lebih hampir dari tengkoknya.

4. Mengingatkan tentang kedahsyatan hari Qiamat, kalaulah gegaran 5-9 skala Richter hanya beberapa saat, apa kata kalau 10-20 skala Richter dalam beberapa minit. “Maka jadilah gunung-gunung seperti kapas yang berterbangan ditiup angin.” Saat yang sangat genting dan menakutkan sekali sehingga Allah menggambarkan apabila tibanya waktu itu ibu-ibu akan meninggalkan anak yang sedang menyusu, bayi-bayi di dalam kandungan akan keguguran, mungkin tertanya oleh kita hari apakah itu? Itulah hari penghabisan dunia bila ianya berlaku maka kekuatannya berkali-kali ganda.

Bencana dan maksiat


Secara umumnya ramai di kalangan manusia yang tidak beriman menganggapkan setiap bencana alam yang melanda dunia adalah semata-mata fenomena alam, tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung terhadap tindakan dan amalan manusia. Balasan terhadap amalan dunia hanya akan diterima di akhirat bukannya di dunia.

Sebenarnya ini adalah satu sangkaan yang salah dan bertentangan dengan nas al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam al Quran bagaimana sebuah kampung akan dilanda musibah hanya disebabkan amalan maksiat yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut.

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” (an-Nahl: 112)

Allah telah memberi segala kesenangan dan kemewahan kepada manusia tetapi apakah balasan manusia terhadap tuhannya? Mereka semakin ganas gara-gara mengikut hawa nafsu. Lalu apakah balasan dari Allah? Lebih baik merampas kembali pemberian dengan mendatangkan bala seumpama kelaparan dan ketakutan.

Bala bukan sahaja melalui bencana alam seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s, bahkan ianya juga mungkin terjadi dengan ketakutan dan keresahan yang membelenggu masyarakat. Kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, ahli keluarga, serta kehilangan harta benda sebenarnya itu adalah satu bala.

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit." (Taha: 124)

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, akibat daripada manusia meninggalkan syariah yang diturunkan oleh Allah bahkan menentangnya maka Allah telah menurunkan bala ketakutan yang menyelubungi kehidupan manusia hari ini. Semuanya berpunca dari maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Golongan salafussoleh yang terdahulu apabila datangnya musibah, kepayahan dan kesusahan mereka akan beristighfar memohon ampun kerana bimbang kelalaiannya yang menyebabkan turunnya musibah dari Allah s.w.t. Allah telah menceritakan tentang doa Nabi Adam ketika diperintahkan turun ke bumi.

“Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami, jika sekiranya Kamu tidak mengampuni kami maka termasuklah kami di kalangan orang-orang yang rugi.”

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat supaya sentiasa muhasabah diri tentang kelalaian yang telah dilakukan. Hisablah diri masing-masing terhadap tanggungjawab kita kepada Allah, adakah kita telah laksanakan sebaik-baik pelaksanaan tanggungjawab hamba terhadap penciptanya? Tanggungjawab dakwah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai da'i untuk menyelamatkan umat dari kehancuran dan kebinasaan? Kalau belum lagi kita bimbang kelalaian itulah penyebab kepada bencana yang melanda umat sekarang ini.

Mungkin dia sahabat sebenarmu

Kawan, sahabat, rakan, geng,teman, dan bermacam istilah diberikan untuk orang yang boleh berkongsi jiwa dan rasa. Begitu jugalah yang dapat memberikan 'sesuatu' pada diri sendiri. Samada berbentuk input rohani, jasmani, atau juga input buah fikiran.


Kawan amat kuat pengaruhnya pada diri individu. Tambahan pula yang baharu hendak kenal dunia, yang baharu hendak bertatih dalam alam yang selama ini 'asing' bagi dirinya. Dan begitulah siapa sahaja yang berada di sekeliling berpotensi untuk menjadi seorang kawan. Samada beliau boleh diharap atau diri sendiri yang tinggal berharap.

Cuba tanya sendiri - dalam beberapa waktu ini, masih ada atau tidak hubungan hati dengan mereka yang dipanggil kawan, teman, sahabat dan yang sewaktu dengannya itu? Atau sebenarnya perlahan-lahan ingatan terhadap mereka semakin menghilang di telan waktu? Dan jangan terkejut terkadang tiba-tiba menerima sms dari kawan yang dahulu tidak kunjung berita. Cuma kali ini tujuan menyapa adalah untuk membawa 'bisnes punya cerita'. - Sekiranya ini pernah menimpa juga - sabarkanlah dulu jiwa. Semoga ALlah menenangkan hati kita setenang-tenangnya dengan kawan seperti ini.

Untuk mencari kawan memang mudah (ini bagi yang peramah), atau sukar (bagi yang masih 'berat mulut', mungkin juga malu kerana jarang berhubungan dengan manusia) adalah dari diri sendiri juga datangnya. Malahan tentu guru di sekolah pernah berceloteh panjang bercerita tentang bagaimana cara mencari seorang kawan atau teman. Atau ibu dan ayah pernah menasihati 'cari kawan yang macam nih', jangan berkawan dengan orang yang macam itu'. Selagi nasihat dijadikan bekalan insya ALlah selamatlah diri dalam menyelusuri kehidupan. Tetapi jika perkataan yang baik itu hanya lepas di pelipis telinga, takut bahaya sedang menanti di hadapan sana.

RasuluLLah pernah bersabda yang bererti :
"Seseorang itu akan mengikuti agama sahabatnya, oleh kerana itu, setiap orang dari kamu sekalian hendaknya memperhatikan siapa yang ia jadikan sebagai teman
(Hadith riwayat At Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)


Teman yang berbau wangi atau berbau besi
Telah disebutkan oleh Habib AbduLlah bin Alwi al Haddad :

Sabda RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :
"Permisalan teman duduk yang baik adalah seperti penjual haruman misk (wangian yang paling mahal dan harum). Boleh jadi dia memberimu, atau engkau membeli wangiannya atau engkau mencium keharuman wangiannya. Sedangkan misalan teman duduk yang buruk adalah seperti tukang besi. Boleh jadi dia membakar pakaianmu, atau engkau akan mencium aroma busuk darinya "

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dengan matan sedikit berbeza)
Barangsiapa yang ingin mengetahui bagaimana pengaruh pergaulan dengan temannya tersebut apakah ia dapat menguatkan iman, kesedaran beragama dan amalnya, ataupun sebaliknya. Maka hendaklah bandingkan keadaannya setelah bergaul dengan orang itu dengan keadaan sebelum ia bergaul dengannya.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi iman, akhlak, niat-niat baik untuk beramal semakin kuat dan kukuh. Sedangkan keburukan dan kejahatannya semakin kecil, maka pergaulan dan persahabatannya itu bermanfaat bagi agama dan hatinya. Jika pergaulan itu diteruskan, maka Insya aLlah ia akan memperolehi manfaat yang sangat besar dan kebaikan yang sangat banyak.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi-sendi keagamaannya menjadi semakin lemah dan menurun, sedangkan kejahatan dan keburukannya semakin banyak. Maka pergaulan tersebut telah membahayakan agama dan hatinya secara nyata. Sekiranya pergaulan tersebut dilanjutkan, maka akan membawa keburukan dan bahaya besar baginya. Semoga ALlah melindungi kita darinya.

Timbanglah semua pergaulan dengan apa yang telah kami sebutkan di atas. Dan perlu diketahui, ketentuan di atas berlaku sesuai dengan mana yang lebih kuat.

Ertinya, selama kebaikan lebih kuat, maka diharapkan pergaulan tersebut mampu menarik orang-orang jahat untuk menjadi baik. Dan selama keburukan lebih kuat, maka dikhuatiri orang baik yang bergaul dengan penderhaka tersebut akan mengikutinya dan menjadi buruk.

Permasalahan ini sangat pelik, orang-orang yang memiliki mata hati yang jernih akan memahaminya. Diperlukan waktu yang banyak untuk membahaskannya secara terperinci.

Tunggulah juga, di waktu dalam kesusahan, di waktu datangnya ujian, di waktu datang kesedihan. Akan dikenal siapa kawan dan siapa lawan. Biarpun mungkin satu hari nanti bila terjadi 'kekecohan' dengan kawan. Berikan sedikit ruang di dalam hati untuk memaafkan. Masa terlalu sempit untuk berlama-lama dalam bermusuhan.
Related Posts with Thumbnails